ARKABUTLA: Enam maut dalam kejadian tembakan di sebuah bandar kecil di Mississippi berhampiran sempadan Tennessee, Amerika Syarikat (AS).

Jurucakap Jabatan Keselamatan Awam Mississippi, Bailey Martin mengesahkan pembunuhan di Arkabutla, di Tate County, pada Jumaat.

Pejabat Gabenor Tate Reeves berkata, seorang lelaki telah ditahan susulan kejadian tersebut.

"Pada masa ini, kami percaya suspek bertindak sendirian dan motifnya masih belum diketahui," kata Reeves dalam satu kenyataan.

Siasatan awal mendapati suspek menembak mati seorang lelaki di sebuah kedai runcit sebelum menembak mati seorang wanita di sebuah rumah berdekatan.

Suspek kemudian menembak mati dua lagi orang di rumah yang lain.

Selepas dikejar pihak polis, suspek berjaya ditahan di sebuah rumah di mana dua lagi mangsa ditemui mati ditembak.

Sementara itu, menurut laman Facebook Sekolah Rendah Coldwater, dua buah sekolah berdekatan tempat kejadian berada dalam perintah berkurung ketika suspek sedang diburu polis.

Tidak lama kemudian, siaran kedua pada halaman itu mengatakan bahawa arahan itu telah ditarik balik dan "semua pelajar dan kakitangan selamat".

Arkabutla terletak kira-kira 50 kilometer di selatan Memphis, Tennessee dan menempatkan 285 penduduk mengikut Banci 2020.

Tasik Arkabutla yang berdekatan ialah takungan yang merupakan destinasi memancing dan rekreasi yang popular.